Selamat Datang ke Laman Web Madrasah Alattas Alarabiah Johor
PENGASAS MADRASAH ALATTAS
Nama penuh beliau ialah Syed Hassan bin Ahmad bin Zain Al Attas. Nasab beliau adalah bersambung sehingga kepada Rasulullah SAW. Beliau adalah seorang ulama' di zamannya begitu juga dengan datuknya Habib Zain.
Sejarah kedatangan keluarganya bermula awal abad ke-18 apabila datuknya berhijrah ke Tanah Melayu. Datuk Habib Hassan kemudiannya bermastautin di negeri Pahang dan bersahabat baik dengan keluarga Diraja Pahang. Beliau banyak membuat kebajikan kepada rakyat dan masyarakat di sana. Dan kemudiannya pada tahun 1832, lahirlah Habib Hassan di Kampung Maulana di sebuah rumah berhampiran dengan Istana Tun Ali (Pahang).
Ketika hidupnya beliau dikenali sebagai seorang ulama, pendakwah dan juga ahli perniagaan yang telah banyak menabur jasa. Di sana beliau telah mendirikan Madrasah Al Attas yang pertama di Pekan Pahang.
Setelah penghijrahan beliau dan bermastautin di Negeri Johor, beliau menubuhkan satu lagi madrasah yang juga diberi nama Madrasah AlAttas. Beliau bukan sahaja berbaik-baik dengan masyarakat tetapi sentiasa bergaul baik dengan Raja-Raja Melayu samada ketika di Negeri Pahang mahupun di Negeri Johor.
Di Johor beliau bersahabat baik dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar sehingga beliau dipelawa oleh sultan supaya menetap di Johor. Di Johor beliau tinggal di Kampung Habib Hassan (sekarang dikenali sebagai Kampung Wadi Hassan). Banyak pertolongan dan jasa yang telah beliau curahkan. Di atas segala jasa dan pengorbanan beliau itu, beliau telah dianugerahkan pangkat Darjah Kerabat (DK) Johor oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1932.
Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1932 di rumahnya di Kampung Wadi Hassan, Johor Bahru Johor. Pemergiannya sukar untuk dicari ganti. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat ke atas Allahyarham.
Habib Hassan Bin Ahmad Alattas telah membina Madrasah Alattas Alarabiah Johor pada tahun 1913 (1332H). Beliau telah memulakan sistem pendidikan berbentuk formal di Johor Bahru dengan tujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu mempelajari bahasa Arab dan agama Islam secara efektif.
Bangunan pertama telah dibina di Bukit Timbalan, Johor Bahru, kemudian berpindah ke beberapa tempat iaitu Bukit Seri Kopi, Bukit Hassan, Kampong Habib Hassan. Wadi Hana .Y.M Tuan Syed Ali Bin Mohammed Alattas dilantik menjadi Nazir keenam.
Pada 10 Julai 1993 kampus baru seluas 20 ekar di KM 23, Jalan Kota Tinggi, Ulu Tiram siap dibina dan mula beroperasi. Pembinaan bangunan di kampus baru ini mempunyai ciri-ciri yang unggul dan tersendiri.
Sistem pembelajaran yang dilaksanakan adalah memenuhi kehendak Sistem Pendidikan Negara yang berasaskan kepada KBSM dan sistem pelajaran bahasa Arab serta agama Islam dijadikan teras utama pendidikan.
Madrasah Alattas telah berjaya melahirkan ramai ahli agama, politik, ekonomi, falsafah yang menjadi penggerak dalam kemajuan negara. Madrasah Alattas berbangga dengan pelajar-pelajar lepasannya yang kini telah berkhidmat hingga ke peringkat pemimpin masyarakat seperti menjadi mufti, menteri, ahli professional dan lain-lain lagi.
Pada bulan Ogos 2005, Jemaah Pengelola Sekolah telah berjaya meletakkan Madrasah Alattas dalam senarai nama sekolah aliran perdana apabila membuat Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan JAPIM dan KPM. Pada tarikh 1 Januari 2006, Madrasah telah menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Kini Madrasah Alattas telah dilengkapi pelbagai kemudahan sama ada untuk membantu pelajar-pelajar dan juga dalam urusan pentadbiran serta tenaga pengajar. Usaha mengemas kini dalam urusan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum terus dilakukan.
Madrasah telah mencapai usia 100 tahun pada 1432H yang lalu. Sejarah telah tercipta apabila Sambutan 100 Tahun (1332-1432H) Madrasah Alattas Alarabiah Johor telah diadakan pada 29 September 2011. Majlis yang julung-julung kalinya diadakan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin.